Mr Emcee

04 Februari 2014

Teruja sentiasa...
PANTASNYA masa berlalu tidak terasakan.  2013 telah pun melabuhkan tirainya lebih sebulan yang lalu.  Ada suka, ada gembira, ada duka dan ada air mata dalam penitian hidup sepanjang tahun.

Semuanya diadun dan teradun menjadi rencah kehidupan dalam usia yang masih berbaki, dalam usia yang kian sempit dan menghimpit.

Dan bercerita tentang mengacarai majlis resepsi perkahwinan khususnya, tampak begitu menggalakkan.

Alhamdulillah, dengan sejumlah 70 undangan, 55 daripadanya diterima.  Bakinya tidak dapat dipenuhi kerana keadaan tidak mengizinkan.  Antaranya pertindihan tarikh majlis, komitmen dengan keluarga dan tugasan jabatan.

Dengan senario semasa saya yakin pada 2014 ini undangan akan menepati sasaran lagi.  Insya-Allah, kalau pun tidak mengatasi pencapaian lalu, tapi sekurang-kurangnya menyamai sudah cukup memadai.

II

Sepuluh tahun lalu, mengacarai majlis sekadar suka-suka, sekadar main-main.  Masa itu perasaan yakin, malu masih lagi tebal dan menebal menyelimuti diri. Meskipun sebenarnya dalam waktu yang sama saya boleh dikatakan aktif berlakun dalam drama radio. Sering diberikan kesempatan menjayakan antaranya, Panggung Drama, Sandiwara Radio dan Dra Irama terbitan radio (RTM).

Benarlah, masa mendatang tidak siapa pun berupaya menerka atau meramalnya.  Alhamdulillah, kini mengacarai majlis bagaikan telah menjadi kerjaya kedua! 

III

Jujurnya sebagai EMCEE yang serba kekurangan, saya tidak menjanjikan kesempurnaan.  Tapi aku janji saya, akan sentiasa berusaha untuk mengacarai sesuatu majlis yang diamanahkan dengan sesempurna mungkin.

Alhamdulillah, menjelang Mei 2014 saya telah mendapat sejumlah 25 undangan mengacarai majlis perkahwinan di pelbagai venue.  Hatta telah ada yang minta saya blok tarikh majlis yang akan dilangsungkan pada November dan Disember ini.

Oh ya, atas saranan dan cadangan kawan-kawan juga saya telah mencabar diri turut menyediakan pakej yang difikirkan relevan untuk majlis perkahwinan.

Kesempatan dan keyakinan yang diberikan saya hargai.  Terima kasih atas segalanya.

Selagi diizinkan-Nya bersuara dan berbicara, teruja sentiasa.

"Ya Allah, terlalu banyak yang Engkau anugerah..."




Komen
0 Komen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mr Emcee Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign