Mr Emcee

25 Februari 2014

Kuntuman Kasih
AMIRAH HANAN & AHMAD

4 Januari 2014
2 Rabiulawal 2014 (Sabtu)

DEWAN SERI SIANTAN
Kompleks Perbadanan Putrajaya
Presint 3
PUTRAJAYA

LAZIMNYA saya takkan lepas peluang untuk merakamkan foto kenangan bersama pasangan mempelai. Tapi dengan pasangan  raja dan ratu sehari, Amirah Hanan dan Ahmad ini saya gagal berbuat demikian. 

Bukan apa, menjelang jam 11.15 malam pasangan '2A' ini masih lagi sibuk memenuhi hasrat para jemputan untuk merakam foto bersama di singgahsana pelamin. 

Tak pelah. Tak de rezeki kali ini. Apapun saya sempat bertemu sua dengan ayahanda, bonda dan kekanda Amirah, sebelum melangkah pergi. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi mengundang saya mengacarakan majlis. Saya juga pohon maaf sekiranya cara saya tidak seperti yang diharap-harapkan. Al-maklumlah, bukan senang untuk memenuhi citarasa setiap insan!

II

Usai mengacarakan majlis resepsi Noor Baizura dan Hariz Idnal sekitar jam 3.15 petang di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, saya bergegas ke Putrajaya untuk hadir raptai wedding dinner Amirah Hanan dan Ahmad.

Agh, terasa penat juga mengacarakan dua majlis dalam masa sehari, siang dan malam. Faktor usialah tu, bisik hati kecil saya.  Saya akui sebenarnya. Apapun, sejujurnya penat itu nikmat!

Alhamdulillah, menghampiri jam lima petang saya sampai di Dewan Seri Siantan, Putrajaya.  Singgahsana pelamin sudah tampak tersergam indah. Di peterana itulah Amirah dan Ahmad akan bersemayam penuh gah. Raja dan ratu seharilah katakan!

III

Sekitar jam 8.00 malam petugas siap siaga bagi memulakan majlis.  Tetamu jemputan kian memenuhi ruang dewan.  Sejurus tetamu kehormat mengambil tempat  di meja VVIP paluan kompang tingkah meningkah memecah damainya suasana malam.

Beriringan dan berganding tangan, Amirah dan Ahmad melangkah sopan berangkat ke singgahsana dengan diiringi alunan selawat oleh Al-Fadil Ustaz Fadlullah Helmi Ismail @ selawatpengantin.com

Al-Fadil Ustaz Fadlullah Helmi Ismail bersama Kumpulan Qasidah Hadrah Al-Huda turut menyerikan majlis resepsi, Amirah dan Ahmad.
Saya mulakan majlis dengan serangkap pantun dan gurindam mengalu-alukan kehadiran para tetamu sebelum mempersilakan Al-Fadil Ustaz  Salahuddin Al-Ayubi Bin Dato' Haji Disa memimpin bacaan doa.

Acara salam restu diteruskan di kalangan tetamu kehormat, ayahanda dan bonda pasangan mempelai. Betapa terujanya Amirah dan Ahmad tatkala perkahwinan mereka direstui Sahibus Samahah Tan Sri Dr Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak dan isteri, Puan Sri Hajah Ainon Binti Abdul Ghani.

Tidak ketinggalan merestui Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Puan Sri Latifah Binti Abdullah.

Burung jelatik burung geladan
Mencari sarang burung tempua
Amirah cantik Ahmad tampan
Bagai pinang dibelah dua.

Malam bermakna tidak terhenti di situ. Kumpulan Qasidah Hadrah Al-Huda tampil  dengan persembahan lagu-lagu Islamik mengiringi jamuan makan sebelum Amirah dan Ahmad menyempurnakan acara memotong pulut kuning.








Komen
0 Komen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mr Emcee Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign