Zahirah anggun berbusana kuning diraja disisi suami tercinta, Dzahir yang turut bertali leher kuning diraja |
Razak turut menyumbangkan lagu Sedetik Lebih |
Kad Perutusan Raja Sehari, Dzahir dan Zahirah disimpan sebagai koleksi |
SYED Mohd Dzahir empunya nama
Orangnya kacak lagi berbudi
Bersama Nurul Zahirah tersurat jodohnya
Tampak keduanya sama serasi.
Anggun berbusana kuning diraja, Zahirah dan suami tercinta, Dzahir mengatur langkah seiringan 'mencemar duli' ke dalam dewan menuju singgahsana pelamin.
Paluan kompang Kumpulan Hadrah, Sungai Pelek, Sepang, Selangor dan alunan selawat begitu bermakna dan menceriakan suasana.
Selepas para hadirin menadah tangan dan mengaminkan doa pimpinan Ustaz Ramli Andak, pasangan raja sehari tampak teruja di singgahsana pelamin, meskipun tidak ada upacara merenjis.
Ketika upacara makan beradab berlangsung, Razak yang menyediakan perkhidmatan p.a. sistem turut menarik perhatian audien apabila menyumbangkan beberapa buah lagu, antaranya Ombak Rindu dan Sedetik Lebih.
Sebelun sesi bergambar berlangsung, majlis diserikan dengan upacara memotong kek perkahwinan. Dzahir dan Zahirah memilih Penghujung Cinta sebagai lagu latar adegan bersuap-suapan secebis potongan kek antara mereka.
"Ke mana destinasi bulan madu?" Soalan lazim yang saya ajukan kepada pasangan mempelai di akhir majlis.
"Insya-Allah, Bali", jawab Zahirah sambil menjeling Dzahir, tersipu.
Jujurnya, ada kepuasan di wajah saya mengacarakan majlis ini. Saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada keluarga dan pengantin sendiri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Terima kasih diucapkan.
Saya turut menghargai pasangan suami isteri, En Wan Abdullah dan Puan Indasah yang telah mengajukan nama saya kepada tuan rumah majlis, Tuan Haji Syed Abdul Razak Syed Hussain dan Puan HajahFouziah Pakiruddin bagi mengacarakan majlis walimatul urus anakanda mereka.
Alhamdulillah, selesai sudah tugasan saya di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. Insya-Allah, saya akan kembali lagi mengacarakan majlis perkahwinan pada 19 Mei 2012 di Dewan Seri Endon, Putrajaya.
Ya, Allah, berilah aku kekuatan!