Mr Emcee: April 2012

16 April 2012

EMCEE



SAYA bersedia mengacarakan majlis ini setelah diundang oleh Encik Ahmad Zohari semasa  mengacarakan  majlis resepsi perkahwinan  anakanda  Dato'  Ahamad Kuris, Aimi Huraira  dan  Alphy Syahril Idzuan pada 3 Mac 2012 di Anggerik Villa, Kajang, Selangor.

''Insya-Allah," kata saya ringkas  sambil  menghulurkan kad nama kepadanya.

"Berapa En Khairi caj?"

"Nanti saya call, kita bincang. Maaf, tak dapat sembang lama sebab majlis tak habis lagi." Tangan dihulur dan sekali lagi kami bersalam erat.

II

Hari yang dijanjikan saya sampai di dewan majlis seawal jam 11.30 pagi.  Ketika saya mencari ruang untuk pakir kereta, kelihatan sudah ramai tetamu hadir dengan pelbagai variasi.

Ketibaan saya disambut Encik Ahmad Zohari, bapa pengantin lelaki, Khairil Nazmi dan penanggah yang segak berpakaian baju melayu dengan ramah.  

Di dalam dewan kedengaran suara DJ berceloteh sambil memainkan lagu-lagu yang bersesuaian. Boleh tahun juga DJ ni, orang lama katakan. Saya salam kenal dengannya terlebih dahulu sambil bincang tentang aturcara majlis. 

Tepat 1.30 tengah hari kedengaran paluan kompang bergema di luar dewan. Sejurus kemudian pasangan pengantin yang segak lagi bergaya beriringan berganding tangan mengatur langkah sopan menuju ke singgahsana pelamin yang tersergam indah. 

Putih cahaya si kunang-kunang
Terbang hinggap di dahan kayu
Di antara sireh beradat pinang
Renjis dipilis adat melayu.

Selepas bacaan doa yang dipimpin Ustaz Mohd Anis Banaji, upacara merenjis pengantin dilmulakan dengan iringan instrumental muzik latar Renjis Dipilis.  Seperti biasa saya turut berpantun mengiringi upacara ini yang dimulakan Tetamu Kehormat YBhg Tan Sri Muhammad bin Haji Muhd Taib dan Puan Sri Asbi Rohani binti Asnan.

Majlis diteruskan dengan makan beradab pasangan mempelai di meja santapan utama dikuti upacara memotong kek perkahwinan sejurus kemudian. Sewaktu saya meninggalkan majlis selepas berakhirnya tugasan sekitar 2.30 petang masih ramai lagi para tetamu hadir memenuhi undangan.
DJ Ahmad kembali meneruskan tugasnya berceloteh sambil memainkan lagu-lagu pilihan bagi menceriakan majlis yang dijadualkan berakhir pada jam 4.00 petang.

EMCEE


Cincin disarung manis di jari
Tangkai kasih Adam dan Hawa
Badai diharung sehidup semati
Kekal abadi ke hujung nyawa.
Lina dan Izhar di pelamin mengukir senyum penuh makna di hari raikan cinta






Dengan berbusana sedondon ungu ilham Zielin Butik pasangan mempelai, Fazilatul Lina dan Mohd Izharudin melangkah santun ke singgahsana pelamin diiringi paluan kompang As Syakirin dan Kumpulan Selawat Kediaman Kastam Diraja, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Kelana Jaya diketuai Haji Saleh Othman.

Diolah teliti disusun lima
Atas cerana bunga berseri
Setelah menanti sekian lama
Kini bergelar suami isteri.

Begitulah, 'Aku Terima Nikahnya', lafaz ijab dan qabul seorang suami, tanda halalnya suatu perhubungan telah disempurnakan pada hari Jumaat, 13 April 2012 bersamaan 22 Jamadilawal 1433 Hijri di Bilik VIP, Kediaman Kastam Diraja, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
 
Seperti lazim majlis turut diserikan dengan upacara merenjis pasangan mempelai yang dijayakan bersama ayahanda dan bonda ke dua-dua mempelai serta sanak keluarga terdekat.

Sejurus upacara makan beradab berakhir, majlis diteruskan dengan upacara memotong kek perkahwinan.

Lina dan Izhar begitu bersahaja ketika jurugambar merakamkan aksi suap menyuap potongan kek kepada pasangan masing-masing.

Begitulah, sesungguhnya setiap insan memerlukan cinta dalam meniti kehidupan. Kerana cinta menjadikan hidup insan lebih bermakna, bahagia dan sempurna. Apatah lagi melalui sebuah ikatan perkahwinan yang dituntut oleh agama.

Rahsia Lina terpendam lama
Bagai purnama dilindung awam
Kini terungkap segala bicara
Izhar di sisi tampan idaman.

Kepada Lina dan Izhar uncle ucapkan tahniah kerana  impi kalian menjadi realiti sebagai pasangan suami isteri.  Selamat pengantin baru dan menikmati indah dan manisnya bulan madu!
















08 April 2012

EMCEE

 
Sham dan Faten teruja di singgahsana pelamin Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur

Pepohon berbayang angin
dedaun tidak diserak rawan
sedondon di atas pelamin
redup mata memandang tuan.

Warna putih jadi pilihan pasangan Raja Sehari, Badrulsham dan Faten Rahayu pada Majlis Makan Malam Sempena Pernikahan Putera empunya majlis, YBhg Dato' Haji Matlasa Haji Hitam dan Datin Hajah Napsiah Haji Mohd di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur.

Putih yang melambangkan kesucian, warna yang melambangkan kesucian dan kemurnian hati, tanpa noda sebuah cinta yang tulus dari hati masing-masing. Moga cinta yang bersemi itu kembang mekar dan mewangi hingga ke akhir hayat.

Majlis memang tampak ceria dan ria. Dimulai paluan kompang dan bacaan selawat oleh Adunan Gamelan Irama Melayu (AGIM) dan YBhg Dato' Haji Abd Wahab Ibrahim yang mengiringi perarakan masuk pengantin ke singgahsana pelamin yang tersergam indah.

Sejurus bacaan doa berakhir, upacara salam restu dilangsungkan bagi menggantikan upacara merenjis pengantin. Sham dan Faten pasti teruja kerana upacara ini dijayakan bersama tetamu kehormat yang memenuhi undangan.

Didahului dengan YBhg Tan Sri Rozali Ismail dan Puan Sri Faridah Idris serta YBhg Tan Sri Ramlan Mohamed Ali dan Puan Sri Noor Asmah Shariman diikuti kedua-dua ayahanda dan bonda pengantin. 


Keceriaan majlis kian terasa apabila Adunan Gamelan Irama Melayu mengiringi Majlis Makan Malam setelah persembahan hidangan oleh Restoran Seri Melayu. Persembahan tarian tradisional oleh MNZ Creative menyerikan lagi majlis.

Sebelum majlis berakhir, Sham dan Faten menyempurnakan upacara memotong kek perkahwinan sebagai simbol termeterainya ikatan antara dua hati.



Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah mengacarakan majlis ini. Majlis berlangsung mengikut aturcara yang telah dipersetujui bersama seperti raptai yang diadakan pada sebelah petang.

Kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan rumah, pasangan pengantin, Cik Azlina dan juruteknik sistem audio memudahkan lagi tugasan saya.






02 April 2012

EMCEE



Sekapur sirih seulas pinang
Diucapkan selamat datang
Setinggi-tinggi penghargaan
Terima kasih memenuhi undangan.

Betapa ceria tuan rumah majlis, Encik Wan Abdullah dan isteri Puan Indasah menyambut kehadiran tetamu pada majlis resepsi perkahwinan anakanda mereka, Wan Nur Alia dan Mohd Noorazam.

Potret Alia dan Azam menyambut kehadiran tetamu di sudut pintu utama dewan
Seawal jam 12.00 tengah hari ayahanda dan bonda pengantin perempuan mulai sibuk melayan kehadiran tetamu undangan. Alangkah terujanya mereka!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mr Emcee Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign