Mr Emcee: EMCEE

16 April 2012

EMCEE


Cincin disarung manis di jari
Tangkai kasih Adam dan Hawa
Badai diharung sehidup semati
Kekal abadi ke hujung nyawa.
Lina dan Izhar di pelamin mengukir senyum penuh makna di hari raikan cinta






Dengan berbusana sedondon ungu ilham Zielin Butik pasangan mempelai, Fazilatul Lina dan Mohd Izharudin melangkah santun ke singgahsana pelamin diiringi paluan kompang As Syakirin dan Kumpulan Selawat Kediaman Kastam Diraja, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Kelana Jaya diketuai Haji Saleh Othman.

Diolah teliti disusun lima
Atas cerana bunga berseri
Setelah menanti sekian lama
Kini bergelar suami isteri.

Begitulah, 'Aku Terima Nikahnya', lafaz ijab dan qabul seorang suami, tanda halalnya suatu perhubungan telah disempurnakan pada hari Jumaat, 13 April 2012 bersamaan 22 Jamadilawal 1433 Hijri di Bilik VIP, Kediaman Kastam Diraja, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
 
Seperti lazim majlis turut diserikan dengan upacara merenjis pasangan mempelai yang dijayakan bersama ayahanda dan bonda ke dua-dua mempelai serta sanak keluarga terdekat.

Sejurus upacara makan beradab berakhir, majlis diteruskan dengan upacara memotong kek perkahwinan.

Lina dan Izhar begitu bersahaja ketika jurugambar merakamkan aksi suap menyuap potongan kek kepada pasangan masing-masing.

Begitulah, sesungguhnya setiap insan memerlukan cinta dalam meniti kehidupan. Kerana cinta menjadikan hidup insan lebih bermakna, bahagia dan sempurna. Apatah lagi melalui sebuah ikatan perkahwinan yang dituntut oleh agama.

Rahsia Lina terpendam lama
Bagai purnama dilindung awam
Kini terungkap segala bicara
Izhar di sisi tampan idaman.

Kepada Lina dan Izhar uncle ucapkan tahniah kerana  impi kalian menjadi realiti sebagai pasangan suami isteri.  Selamat pengantin baru dan menikmati indah dan manisnya bulan madu!
















Komen
0 Komen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mr Emcee Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign