Mr Emcee: EMCEE

08 April 2012

EMCEE

 
Sham dan Faten teruja di singgahsana pelamin Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur

Pepohon berbayang angin
dedaun tidak diserak rawan
sedondon di atas pelamin
redup mata memandang tuan.

Warna putih jadi pilihan pasangan Raja Sehari, Badrulsham dan Faten Rahayu pada Majlis Makan Malam Sempena Pernikahan Putera empunya majlis, YBhg Dato' Haji Matlasa Haji Hitam dan Datin Hajah Napsiah Haji Mohd di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur.

Putih yang melambangkan kesucian, warna yang melambangkan kesucian dan kemurnian hati, tanpa noda sebuah cinta yang tulus dari hati masing-masing. Moga cinta yang bersemi itu kembang mekar dan mewangi hingga ke akhir hayat.

Majlis memang tampak ceria dan ria. Dimulai paluan kompang dan bacaan selawat oleh Adunan Gamelan Irama Melayu (AGIM) dan YBhg Dato' Haji Abd Wahab Ibrahim yang mengiringi perarakan masuk pengantin ke singgahsana pelamin yang tersergam indah.

Sejurus bacaan doa berakhir, upacara salam restu dilangsungkan bagi menggantikan upacara merenjis pengantin. Sham dan Faten pasti teruja kerana upacara ini dijayakan bersama tetamu kehormat yang memenuhi undangan.

Didahului dengan YBhg Tan Sri Rozali Ismail dan Puan Sri Faridah Idris serta YBhg Tan Sri Ramlan Mohamed Ali dan Puan Sri Noor Asmah Shariman diikuti kedua-dua ayahanda dan bonda pengantin. 


Keceriaan majlis kian terasa apabila Adunan Gamelan Irama Melayu mengiringi Majlis Makan Malam setelah persembahan hidangan oleh Restoran Seri Melayu. Persembahan tarian tradisional oleh MNZ Creative menyerikan lagi majlis.

Sebelum majlis berakhir, Sham dan Faten menyempurnakan upacara memotong kek perkahwinan sebagai simbol termeterainya ikatan antara dua hati.



Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah mengacarakan majlis ini. Majlis berlangsung mengikut aturcara yang telah dipersetujui bersama seperti raptai yang diadakan pada sebelah petang.

Kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan rumah, pasangan pengantin, Cik Azlina dan juruteknik sistem audio memudahkan lagi tugasan saya.






Komen
0 Komen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mr Emcee Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign