Mr Emcee

09 Mei 2011

Majlis Resepsi Perkahwinan


Majlis Resepsi

EFFIL IZHAM BIN DATUK AHMAD PADZLI
dengan
NUR IZZATI BINTI A WAHAB


7 Mei 2011

3 Jamadilakhir 1432H (Sabtu)

Grand Ballroom

Hotel Concorde
Shah Alam

Selangor Darul Ehsan


Merisik sudah bertunang sudah
Sempurna sudah segala adat
Janji diikat kata bermadah
Moga berkekalan ke akhir hayat.

Seawal 8.30 malam, Grand Ballroom, Hotel Concorde Shah Alam hampir dipenuhi para jemputan. Penanggah begitu sibuk mempersilakan tetamu mengambil tempat. Dengan diiringi bunyian gamelan majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat masuk ke dalam dewan seraya mengambil tempat di meja santapan utama.

Sejurus kemudian, pasangan raja sehari mencemar duli menuju ke singgahsana pelamin tersergam indah. Aroma kuntuman segar dan mekar mawar kekuning-kuningan begitu menceriakan suasana di malam sejuta bahagia Effil dan Izzati.

Selepas bacaan doa oleh Ustaz Haji Abu Bakar Sairi, Masjid Negeri Selangor, Shah Alam, majlis diteruskan dengan upacara merenjis di kalangan tetamu kehormat. Jamuan makan menyusul kemudian diikuti ucapan sekalung budi oleh ayahanda pengantin lelaki, YBhg Datuk Ahmad Padzli. Begitu terkesan dan berkesan ucapan yang disampaikan diselang seli dengan pantun dan gurindam. Orang lama katakan!

Majlis diakhiri dengan pasangan mempelai bertemu sua dengan para jemputan di pintu utama dewan selepas berakhirnya upacara memotong kek perkahwinan sebagai simbol termeterinya ikatan antara dua hati, Effil dan Izzati.

Kalau keris biar bersepuh
Ronakan emas secantik warna
Beranak bercucu jangan mengeluh
Kurniaan Allah harta berharga.









03 Mei 2011

Majlis Resepsi Perkahwinan


Majlis Resepsi

KHAIRULNIZAM DATO' SRI HAJI MOHAMED KHALID
dengan
SHARNAZ SABERI

2 Mei 2011
28 Jamadilawal 1432H

Dewan Kompleks Kastam WPKL
Kelana Jaya
Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan

Haruman kuntuman mekar mawar merah dan putih melatari dewan menghadirkan suasana begitu romantis. Melalui permaidani merah, selawat mengiringi perarakan masuk pasangan mempelai ke dalam dewan menuju lokasi meja santapan utama begitu mengujakan.

Tiada paluan kompang, upacara bersanding dan merenjis pengantin seperti kelazimannya. Namun, ucapan sekalung budi ayahanda pengantin lelaki diikuti upacara memotong kek perkahwinan begitu bermakna. Apatah lagi lagu Menyintaimu berkumandang ketika upacara berlangsung dipersembahkan secara live oleh Zainal Enon Group.

Al-kisahnya, cinta pandang pertama pada pertemuan di Supermall Petrajaya, Kuching, Sarawak, 2006 akhirnya membawa Khairulnizam dan Sharnaz mendirikan mahligai impian. Apalah yang lebih bermakna bila impi menjadi realiti. Restu keluarga mendorong mereka mengikat tali pertunangan pada 19 Disember 2010 sebelum diijabkabulkan pada 22 April 2011.

Cinta bersemi begitu murni
janji setia sama-sama dipadu
Syariat dan adat perlu dipatuhi
Seisi keluarga memberi restu.


Tahniah dan Selamat Pengantin Baru, Nizam dan Sharnaz.

Majlis Resepsi Perkahwinan


Majlis Resepsi

NURUL AIN BINTI ABDUL KARIM
dengan
MOHD FADZLEE BIN HAJI ALI
1 Mei 2011
27 Jamadilawal 1432H
Kompleks Sukan Sri Delima
Jalan Jambu Satu
Jalan Kepong
Kuala Lumpur
Fadzlee dan Ain berbusana putih sedondon di atas singgahsana pelamin sentuhan d'Jari Artz.
Merakam gambar kenangan bersama Kumpulan Gendang Gemala Kasturi yang turut menjayakan majlis resepsi perkahwinan.
Cida d'Jari Artz menyatakan sesuatu kepada Mr Emcee dan DJ sebelum majlis berlangsung. >>Foto Blog KGGK.

CERIA dan ria. Seawal 1.30 tengah hari pasangan mempelai, Nurul Ain dan Mohd Fadzlee masuk ke dalam dewan menuju ke singgahsana pelamin diiringi tiupan serunai dan paluan gendang oleh Kumpulan Gendang Gemala Kasturi (KGGK).
Saya pasti hadirin teruja dengan persembahan alat muzik tradisional yang begitu mengasyikkan. Pelbagai irama lagu malar segar diperdengarkan KGKK - asli, zapin, malah irama Hindustan petikan dari filem Sangam. Irama tersebut pastinya menggamit kembali memori 'orang lama'. Apapun, saya tertarik dengan instrumental 'Gurindam Jiwa'.
Jujurnya, saya seronok mengacarakan majlis kerana P.A. System @ Kemang Utara Enterprise (KUEN) begitu berkualiti. Hampir dua jam mengendalikan majlis masih tak puas!
Terima kasih Cida dan Syam selaku wedding planner yang sudi gunakan khidmat uncle sebagai Emcee dalam pakej d'Jari Artz buat kali ketiga. Moga tak serik bekerjasama dengan Emcee Otai ni!

Kepada Ain dan Fadzlee uncle ucapkan Selamat Pengantin Baru. Ke mana destinasi bulan madu?


*****

>>Petikan dari Blog KGGK @ Bagai Delima Merekah, 2 Mei 2011 - Emcee (Uncle Khairi) dan DJ yang super cool.

"Majlis diteruskan dengan bacaan doa, kata-kata aluan MC dan iringan lagu dari DJ yang super cool. Majlis bertambah meriah apabila MC yang gerek membacakan teksnya disulami dengan pantun-pantun malar segar yang mengujakan. Saya senyum beberapa kali mendengar pantun yang mencuit hati."





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mr Emcee Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign